Friday, October 14, 2011

Beberapa Tokoh Hebat Perhubungan Awam Dalam Pengurusan

Dalam artikel yang lalu saya telah menyentuh bahawa sebagai Pengetua/Guru Besar kita perlu pandai dalam perhubungan awam.Jika kita lihat indidvidu-individu yang telah berjaya sehingga menjadi ketua/pengarah dalam bidang masing-masing mereka ini semuanya mempunyai perhubungan awam yang hebat dalam diri masing-masing.Saya teringat semasa saya dalam latihan guru dahulu di KBTC Kota Bharu Kelantan tahun 1964-1965.Pada tahun 1965 Malaysia sedang rancak melaksanakan bulan Bahasa Kebangsaan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu.Di mana-mana diadakan bulan bahasa kebangsaan.Pengetua KBTC adalah seorang bukan Melayu yang kanan jawatannya.Masalahnya kami para pelajar Maktab tidak dibenarkan mengikut aktiviti yang dianjurkan oleh pihak awam di luar maktab.Di samping itu di maktab juga tidak ada aktiviti untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.Ada dua tiga orang pensyarah yang berjiwa nasionalis tidak bersetuju dengan tindakan Pengetua.Maka tercetuslah tunjuk perasaan di kalangan pelajar dan kami para pelajar tak mahu keluar untuk berkuliah.Ianya berterusan sehingga beberapa hari.Tan Sri Murad Bin Mohd Nor pada masa itu Pengarah Pelajaran Kelantan telah di hantar oleh Ketua Pengarah Tun Hamdan Bin Sheikh Tahir untuk menyelesaikan masalah  tersebut.Tan Sri Murad ialah seorang guru,seorang pentadbir dan seorang pemimpin yang pandai berucap sama ada dalam bahasa Melayu/Inggeris.Para pelajar dikumpulkan di Dewan Besar maktab pada pukul 8 malam tanpa dihadiri oleh Pengetua atau pensyarah-pensyarah.Pemimpin pelajar diminta meluahkan apa yang mereka rasa tak puas hati.Maka berapi-rapilah mereka meluahkan perasaan.Lepas itu Tan Sri Murad pula yang berucap.Dengan lemah lembut beliau berterima kasih kepada pemimpin pelajar yang telah meluahkan perasaan.Seterusnya beliau berjanji akan mengambil tindakan apa yang patut berkaitan dengan masalah yang kami hadapi.Dalam masa yang sama beliau mengingatkan para pelajar supaya tidak mengabaikan kuliah-kuliah kerana itulah corebusiness kami datang belajar ke maktab perguruan.Mengenai Pengetua pula beliau diumpamakan sebagai sebatang pohon yang besar dan rendang. Ianya akan mengambil masa untuk diambil apa-apa tindakan.Setelah mendengar ucapan beliau kami pun berjanji akan kembali semula ke bilik kuliah.Tidak lama kemudian kami pun tamat latihan bagi sessi 1964-1965.Semasa kami ditempatkan di sekolah masing-masing pada Januari 1966 khabarnya Pengetua tersebut telah dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Trengganu.Satu jawatan yang tinggi untuk bukan Melayu.Dengan kata lain terjadilah "Win Win Situation" dalam peristiwa ini.Ditakdirkan pada tahun 1993 saya dipilih sebagai Presiden NUTP.Di satu majlis di hotel Federal Kuala Lumpur saya bertemu lagi dengan Tan Sri Murad (bekas Ketua Pengarah Pelajaran)sebagai salah seorang penceramah bagi majlis yang diadakan.Sambil minum kopi sebelum majlis diadakan saya mengenalkan diri sebagai salah seorang pelajar di KBTC pada tahun 1965 dahulu dan mengingatkan beliau tentang peristiwa tunjuk perasaan.Beliau tersenyum dan mengingatkan kami semua, sebagai pegawai awam kita mesti memupunyai PR yang hebat dengan siapa sahaja jika ingin berjaya.Dalam ceramahnya beliau masih seperti dahulu, petah berucap dan menyampaikan ucapan beliau dalam bahasa Melayu di selang seli dengan bahasa Inggeris.Tan Sri Murad tetap Tan Sri Murad.

Seorang lagi pegawai kanan Kementerian Pelajaran ialah  Dato' Jumaat Bin Mohd Nor Pengarah Sekolah-Sekolah dan apabila bersara dilantik sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka kerana kebolehannya itu.Semasa beliau bertugas di Kementerian Pelajaran lewat tahun 1970han kami sering bertemu sebelum masuk ke bilik Melati untuk mesyuarat.Apabila bertemu belum sempat saya menegur beliau, beliau telah terlebeh dahulu menegur  saya  dengan nama 'Dan' sahaja kerana beliau ingin 'repo' dengan kami pengetua-pengetua sekolah.Pada masa itu Kementerian Pelajaran letaknya di Federal House sebelum berpindah ke Pusat Bandar Damansara.Apabila kita bertemu beliau untuk satu-satu pertolongan dengan cepat beliau membantu kita.Sifat bagini harus ada pada Pengetua/Guru Besar.

Dato' Dr Isa Bin Ramli adalah satu lagi pegawai tinggi Kementerian Pelajaran yang mempunyai PR yang sangat hebat.Semasa saya menjadi Pengetua dalam tahun 1974  beliau bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor.Apabila beliau nampak saya di Jabatan Pelajaran Selangor di Jalan Swettenham Kuala Lumpur beliau mengamit saya untuk berbual dengan beliau.Ada sahaja yang hendak diceritakan.Jika dijemput untuk merasmikan majlis-majlis sekolah beliau tidak pernah menolak.Selepas di Selangor beliau dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Sarawak dan selepas itu ke Trengganu.Semasa di Trengganu beliau telah mendapat cuti belajar untuk Ijazah Phd di Universiti Berkeley di Amerika Syarikat.Sekembalinya ke tanah air dengan gelaran Dr beliau dilantik sebagai Pengarah Sekolah-Sekolah dan seterusnya Timbalan Ketua Pengarah sebelum bersara.Semasa beliau di Bahagian Sekolah-Sekolah saya sering ke sana untuk mendapat guru-guru yang baik atau penempatan guru di tempat yang sesuai kerana sudah berkeluarga.Bila diminta pertolongan cepat-cepat beliau membantu.Semasa di Kementerian Pelajaran beliau melangkahi protokol dan sering turun minum di kantin Kementerian dengan ditemani oleh guru-guru yang beliau kenal atau datang berjumpa beliau.Apabila beliau bersara beliau telah dilantik sebagai Pengerusi sebuah kilang di Meru (United Industry)rakan kongsi PNB.Beliau sering datang ke rumah saya untuk makan tengah hari apabila dijemput.Kegemaran beliau ialah sayur lemak pucuk ubi dan tempe berserta dengan sambal buah kuini.Sifat suka memuji orang lain khususnya dari segi makanan yang dimasak ada pada beliau.Orang yang memasak pun rasa gembira.Beliau juga sering menjemput saya makan di luar di mana beliau mendapati kedai tersebut sedap masakannya.Pengetua/Guru Besar harus mengambil iktibar sifat-sifat 'mahmudah' yang ada pada Dato' Dr Isa Bin Ramli.

Saya mula kenal dengan Tan Sri Dr Shukor Bin Abdullah bekas Ketua Pengarah Pendidikan pada tahun 1970han di satu majlis Persidangan Pengetua-Pengetua di Port Dickson,Negeri Sembilan.Beliau dijemput memberi satu syarahan yang ada kaitan dengan pengurusan sekolah.Suaranya tegas dan beliau dengan berani memberi teguran kepada Pengetua yang tidak mengurus sekolah dengan baik.Semasa saya memegang jawatan Naib Presiden NUTP dalam tahun 1980han saya sering berjumpa dengan beliau ketika bermesyuarat di bilik Melati Kementerian Pelajaran.Apabila nampak sahaja saya beliau terus menegur dengan nada suara yang lembut.Beliau dan saya ditakdirkan lahir dan bersekolah di Perak.Beliau dari sekolah King Edward the VII School  di Taiping Perak dan saya Clifford School Kuala Kangsar.Apabila bertegur sapa beliau tidak pernah melupakan loghat Perak dan bercakap dengan bahasa yang mudah.Semasa beliau menjadi Ketua Pengarah seorang kawan baik saya telah tertinggal dalam senarai kenaikan pangkat sebagai Timbalan Pengarah.Saya pergi berjumpa beliau di Kementerian Pelajaran Damansara Kuala Lumpur.Beliau baru sahaja keluar dari bilik mesyuarat dan nampak sahaja saya mengajak saya masuk ke pejabatnya.Oleh kerana beliau hendak ke bilik air beliau meminta saya menunggu sebentar di kerusi tetamu.Sebentar sahaja di bilik air beliau terus keluar dan kami berbincang mengenai calon tersebut.Beliau bersetuju dengan calon yang dikemukakan dan seminggu kemudian calon tersebut mendapat surat untuk kenaikan pangkat.Di satu peristiwa lain saya ke pejabatnya kerana telah membeli dua buah buku mengenai pengurusan tulisan Dr Shukor.Saya beli dua buah buku tersebut di kedai buku Pusat Bandar Damansara.Saya minta beliau tandatangani buku tersebut dengan ucapan rengkas satu untuk saya dan satu untuk Dato' Rafae Bin Mahat pada ketika itu Pengarah Pelajaran Selangor.Alangkah gembiranya Dato' Rafae Bin Mahat apabila mendapat buku tersebut.Kali terakhir saya berjumpa Dato' Dr Shukor ialah di HUKM Cheras Kuala Lumpur(2010).Sebagaimana biasa beliaulah yang mula menegur saya.Beliau pergi ke HUKM kerana rawatan mata.Rupa-rupanya tokoh pendidik ini tidak panjang umurnya dan baru sahaja meninggalkan kita semua (2011).Al Fatihah.Beliau mendapat gelaran Tan Sri selepas bersara dan tak lama kemudian dilantik Pro Chancellor UPSI Tanjong Malim Perak.Satu jawatan tertinggi dan penghormatan kepada beliau sebagai anak Perak.Perkebumian beliau juga penuh penghormatan dan dihadiri oleh DYTM Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah di tanah perkuburan Pokok Asam Taiping Perak.Anak lulusan Phd dari Universiti Havard ini tetap simple dalam segala-segalanya.Pengetua/Guru Besar harus mengambil iktibar dari tokoh ini.Beliau sentiasa melayan tetamu di kerusi tetamu dan tidak sebagai bos dan tetamu sebagai kliennya.

Tan Sri Rafae Bin Mahat anak dari Melaka ini adalah bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran satu jawatan tertinggi dalam Perkhidmatan Pelajaran.Bukan semua bekas Ketua Pengarah dapat memegang jawatan tersebut.Ianya dilantik mengikut kekosongan.Saya mula kenal dengan Tan Sri Rafae bin Mahat semasa saya menjadi Pengetua dalam tahun 1980han dahulu.Seterusnya semasa saya memegang jawatan dalam NUTP selaku Naib Presiden dan seterusnya Presiden.Beliau mula bertugas di Kementerian Pelajaran sebagai Penolong Pengarah Bahagian Sekolah-Sekolah.Sebelum itu beliau seorang Pengetua di Melaka.Watak Tan Sri Rafae Bin Mahat ini beliau mudah mesra dengan kawan-kawan dan petah bercakap.Apabila bertemu beliaulah yang mula menegur kita.Semasa beliau dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Selangor dalam satu majlis penyampaian Sijil Cemerlang di Pelabuhan Klang dalam ucapan perasmiannya beliau memperkenalkan saya sebagai sahabat karib beliau(1999).Sifat yang ada pada Sukarno ini dianuti oleh beliau.Semasa beliau bersara beliau dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia.Saya telah pergi berjumpa beliau di Pejabat Suruhanjaya atas urusan pelajaran tinggi anak sahabat saya untuk khidmat nasihat beliau.Mengatahui yang kami akan datang ke pejabat, beliau telah meminta PA beliau menunggu kami di tingkat bawah.Pejabat beliau di tingkat 3 dan tempat tersebut adalah 'high security area' kerana letaknya tidak jauh dari Kompleks Jabatan Perdana Menteri.Kami pun sampai ke pejabat beliau dan disambut dengan penuh kemeseraan di kerusi tetamu.Beliau mendengar apa yang diminta oleh rakan saya itu iaitu satu tempat dalam bidang farmasi di Australia dan biasiswa JPA.Beliau memberi nasihat apa yang patut.Selain berbincang mengenai biasiswa tersebut, beliau juga meminta saya membantu kesatuan guru supaya menyokong apa yang akan dibuat mengenai tabung TPF.Nilainya kira-kira RM300 juta.Beliau adalah pengerusi yang baru dilantik setelah beliau bersara.Saya mendengar dengan teliti dan mengaku akan membantu apa yang patut.Kami pun memohon diri untuk balik dan sekali lagi beliau meminta PA beliau menghantar kami ke tingkat bawah.Setelah bersalaman dan menghantar kami hingga ke pintu lift beliau masuk semula ke pejabatnya.Tak lama kemudian anak kawan saya dapat pergi ke Australia dengan biasiswa JPA.Kelulusannya semua A1 dalam semua mata pelajaran SPM.Sekarang ini  pelajar tersebut telah pun tamat ijazah Sarjana Muda Sains Farmasi kelas pertama dan tamat Sarjana dalam bidang yang sama(2010).Beliau masih di Australia untuk melanjutkan pelajaran untuk ijazah Phd dalam bidang Farmasi.Tak lama kemudian selepas kami berjumpa di Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran kami menerima berita yang Tan Sri Rafae Bin Mahat telah pun meninggal dunia.Alfatihah.Harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama.Nama Tan Sri Rafae Bin Mahat tetap kekal sebagai pegawai yang cekap dan mudah membantu rakan sejawatnya.

Tun Mohd Suffian Bin Hashim bekas Ketua Hakim Negara bukan sahaja seorang yang aktif dalam dunia perundangan tetapi juga dalam bidang pendidikan.Beliau pernah bertugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Negara bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Bin Mohamad dan dilantik sebagai Pro Cancelor Universiti Malaya lebeh dari 18 tahun.Pada tahun 1990han memegang jawatan Pengerusi Universal Trustee Chartered Bank Kuala Lumpur.Saya telah diminta oleh seorang sahabat saya Guru Besar SK Jln Meru 2 untuk berjumpa beliau mengenai Pelajaran Tinggi anaknya di Universiti Malaya.Kami sampai di pejabat beliau dan disambut dengan baik.Tun sendiri menyediakan minuman kopi untuk kami.Kawan saya rasa terharu betapa rendah diri Tun Mohd Suffian terhadap kami.Beliau menyediakan sekeping surat untuk disampaikan kepada pihak Universiti Malaya.Tidak lama kemudian calon tersebut telah mendapat tempat di fakulti kejuruteraan universiti tersebut.Sekarang ini pelajar tersebut telah pun beberapa tahun bekerja sebagai jurutera di kilang komputer milik ayahnya di Shah Alam.

Professor Dr Isahak Bin Harun dari Universiti Malaya merupakan salah seorang Professor Melayu yang banyak memberi sumbangan terhadap dunia pendidikan.Pada tahun 2010 dan 2011 beliau telah mengeluarkan laporan lengkap mengenai penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.Laporan itu menunjukkan penggunaan Bahasa Inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik tidak menguntungkan pelajar-pelajar luar bandar.Beliau merupakan pelajar cemerlang dari salah sebuah Universiti di Amerika Syarikat.Kepakarannya dalam bidang penyelidikan dan statistik.Professor Isahak pernah bertugas sebagai Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dalam tahun 1980han.Saya menjemput beliau untuk merasmikan majlis 'Jamuan Makan Malam' sekolah kami di Hotel Merlin Subang Jaya.Beliau terima dengan hati terbuka dan ucapannya penuh dengan pujian terhadap kami.Semasa Allahyarham Tun Suffian meninggal dunia di Petaling Jaya beliau hadir di majlis tersebut mewakili Universiti Malaya.Kerana sifatnya merendah diri beliau mempunyai ramai kawan dari semua golongan.Siapa sahaja yang kenal dengan beliau tidak akan lupa kepadanya.Sekarang beliau masih bertugas sebagai Professor Emeritus di UPSI Tanjong Malim,Perak.

Kisah-Kisah Pengetua/Guru Besar Untuk Renungan

i)Pengarah Pelajaran Selangor telah membuat lawatan ke sekolah Menengah Pulau Lumut Pelabuhan Klang untuk meninjau pembangunan sekolah.Beliau ditemani oleh seorang Penyelia Pembangunan dari PPD Klang. Ketika sampai Pengetua ada di sekolah dan walaupun beliau tahu Pengarah yang datang beliau terus duduk menulis di atas meja dan berbual di telefon.Pengarah dari jauh memandang ke arah Pengetua dan terpaksa menunggu kira-kira 15 minit.Pengarah pun memberi teguran secara berhemah kepada Pengetua.Kalau ketua kita yang datang kita kena berhenti kerja yang lain-lain dan terus melayan tetamu yang datang.

ii)Saya melawat sebuah sekolah kerana ingin menderma untuk surau sekolah.Sebagai guru jumlahnya agak banyak juga kerana sekolah tersebut bekas sekolah saya menjadi Pengetua dahulu.Saya datang beberapa kali kerana menderma secara beransur-ansur.Saya dilayan dengan baik oleh pihak pentadbir tetapi nampaknya beliau terkocoh-kocoh untuk pergi.Ketika saya hendak balik beliau pun mengajak saya minum di kantin.Malangnya sampai di pertengahan jalan beliau pun meminta diri kerana ada kelas.Saya mengangguk-ngangguk tanda setuju.Dalam hati saya apakah PR guru ini.Sebagai pentadbir beliau ada kuasa meminta guru lain yang 'free' menggantikan beliau.Yang datang ini dengan tujuan baik dan bekas Pengetua.Pada masa saya jadi Pengetua dahulu tidak ada gaji khas,tidak ada elaun keraian dan tidak ada elaun perumahan.Tetapi kami Pengetua/Guru Besar sentiasa melayan tetamu kami yang kecil dan yang besar.Satu perkara jika kita jadi pentadbir jangan kedekut untuk belanja kawan-kawan.Maka sebab itulah diadakan elaun keraian.Saya dan Dato' Sivasubramaniam Setiausaha Agung KPPK selalu lawan hal ini dengan pihak JPA.Tujuannya supaya mertabat jawatan Pengetua/Guru Besar sama dengan perkhidmatan lain.Kalau boleh sama dengan PTD.Malangnya guru sendiri yang tak faham dan ramai Pegetua/Guru Besar yang kedekut.Ada seorang bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor sangat murah hati.Kalau kita duduk ramai-ramai untuk minum beliau dengan cepat mahu membayar.Sebenarnya bukan semua kawan-kawan mahu dibayar.Yang penting sifat pemurah hati.Pegawai ini sudah 12 tahun bersara tetapi pegawai ini tetap diingati oleh kawan-kawan.

iii)Dalam tahun 1970han dahulu saya bertugas di Banting Kuala Langat Selangor selaku Pengetua.Tuan Pegawai Daerah Kuala Langat Dato' Wan Hilal Bin Wan Abd Rahman seorang yang sangat berkebolehan dalam bidang perhubungan awam.Daerah Kuala Langat sangat maju dari segi pembangunan.Terdapat sebuah Stadium di bina di Pekan Banting dan Pantai Morib dijadikan Mini Zoo dan tempat pelancungan.Kawasan tersebut ialah kawasan YAB Dato' Menteri Besar Selangor Dato' Harun Bin Idris.Di kampong-kampong sangat maju dengan projek bercucuk tanam sayur-sayuran termasuk tanaman kubis jenis tanah rendah.Sekolah-Sekolah juga diadakan pertandingan tanaman sayur-sayuran dinamakan Projek AMP.Dato' Wan Hilal ini mempunyai perhubungan yang amat baik dengan orang-orang kampong,orang Cina di bandar,orang India di ladang-ladang, pegawai-pegawai kerajaan dan orang-orang politik. Ditakdirkan saya dan Dato' Wan Hilal ini datang dari negeri yang sama, Perak.Dato' Wan Hilal dari Bukit Chandan Kuala Kangsar Perak dan saya dari Kota Lama Kiri Kuala Kangsar Perak.Beliau kenal dengan keluarga saya.Pada masa itu Pantai Morib dijadikan padang Golf untuk Daerah Kuala Langat.Semua pegawai kerajaan digalakkan bermain golf dan boleh menjadi ahli Kelab Golf Morib dengan yuran yang sangat minima.Saya dihadiahkan setengah set kayu golf dan rajinlah ke Morib.Tetapi oleh kerana saya bukan ahli sukan akhirnya tidak lagi ke sana.Tak lama kemudian saya pun bertukar ke Klang.Dato' Wan Hilal pula bertukar ke Daerah lain.Beliau terus aktif dan apabila bersara dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pelesenan Malaysia satu jawatan tertinggi kerana kebolehannya itu.Dato' Wan Hilal Bin Hj Wan Abd Rahman meninggal dunia di Mekah dalam satu kemalangan semasa menunaikan Umrah.Al Fatihah.Allahyarham tetap di kenang sebagai seorang pegawai awam yang mudah mesra dan berkebolehan.

Gambar 1 menunjukkan Tokoh Guru Daerah Klang tahun 2011 Encik Muaz Bin Ibrahim.Tentu ada sifat PR yang baik dan beliau dinobat sebagai Tokoh Guru.

Gambar 2 menunjukkan Tokoh Guru Wanita Daerah Klang 2011 Pn Kamariah Bt Zainuddin.Guru ini sifatnya pelembut dan PRnya baik.Beliau seorang guru yang pemurah.Mudah dibawa bicara.

Monday, October 10, 2011

Lawatan Ahli-Ahli PBPPPM DC Klang Ke Program Al Kulliyah TV3 Pada 30 Sept 2011

Pada 30hb September 2011(Jumaat) mulai jam 5 ptg hingga 6.00 ptg seramai 31 orang peserta terdiri dari ahli-ahli PBPPPM DC Klang dan 12 orang bukan ahli telah hadir ke Majlis Al Kulliyah anjuran TV 3 di Sri Pentas K.Lumpur.Majlis ini merupakan salah satu aktiviti Biro Agama PBPPPM DC Klang bagi sessi 2010-2012.Aktiviti lain yang telah dijalankan termasuk ceramah Isra' Mi'raj,Majlis Tahlil dan Bacaan Yaasin,Majlis Korban sempena dengan Aidil Adha dsbnya.Rombongan Biro Agama PBPPPM DC Klang telah bertolak dari Mesjid Ar Rahimiah Jalan Langat Klang pada pukul 3.20 ptg dengan di ketuai oleh Tn Hj Mahali Bin Ramlan Pengerusi Biro Agama dan Mantan Nazir Mesjid Ar Rahimiah Klang.Turut serta juga ialah Tn Hj Shaari Bin Hj Abdullah Timb. Pengerusi PBPPPM DC Klang.Peserta lain terdiri dari En Norhamdan Bin Baharin(Pen Setiausaha) dan isteri  dan beberapa Jawatankuasa kanan termasuk Tn Hj Sukirman Bin Sanuri dan isteri,Pn Hamidah Bt Rantam (Pen Setiausaha Wanita) dan suami Tn Hj Ranom Bin Hj Abd Hamid,Tn Hj Ramli Bin Salleh,Tn Hj Agus Salim Bin Bait@Taib (Bekas J/K) dan isteri,Pn Juriah Bt Tohar (Bekas J/K )dan beberapa ahli-ahli yang lain.Jumlah semua peserta seramai 43 orang.

Rombongan telah sampai ke TV 3 pada jam 4.20 ptg dan terus mendaftar di pintu masuk bangunan TV 3.Peserta dibekalkan dengan sticker dan masuk ke dalam studio.Setibanya di studio rombongan disambut oleh En Halim selaku Penolong penerbit.Pihak Urusetia rombongan telah mengadakan sadikit perbincangan dengan En Halim tentang soalan-soalan yang akan dikemukakan kepada panel/penceramah di samping itu para peserta rombongan mengambil tempat masing-masing.

Tajuk program Al Kulliyah pada hari tersebut ialah " Doa Ibu ".Pengerusi Panel ialah Ustadz Fauzi dan Panel undangan ialah YBhg Prof Madya Dr Norhayati dari UIAM.Sepuluh minit sebelum program dimulakan ke udara En Halim telah memberi penerangan kepada peserta supaya menumpukan perhatian kepada program yang disiarkan secara langsung.Sebahagian besar dari peserta adalah merupakan pengalaman pertama berada di dalam studio untuk siaran secara langsung.

Siaran secara langsung itu berjalan dengan lancar di bawah pimpinan Ustadz Fauzi dengan penjelasan dan penerangan berkenaan dengan tajuk 'Doa Ibu'.Prof Madya Dr Norhayati telah menerangkan berkenaan dengan pengertian 'Doa Ibu' dan diselang seli dengan penjelasan lanjut oleh Ustadz Fauzi.Selepas itu diikuti oleh empat soalan dari para peserta.Antara yang mengambil bahagian ialah En Norhamdan Bin Baharin,Tn Hj Muaz Bin Ibrahim,Pn Hamidah Bt Rantam dan Puan Hajjah Ruhiyah Bt Mahmod.Para peserta berpuas hati dan faham di atas penjelasan-penjelasan yang diberikan oleh Panel pada hari tersebut.

Selesai majlis para peserta telah mendirikan sembahyang Asar dan seterusnya menikmati sadikit jamuan ringan yang disediakan oleh pihak TV 3.Rombongan bertolak balik ke Klang pada pukul 6.35 ptg dan sampai ke mesjid Ar Rahimiah pada jam 7.10 malam.

Program ini memberi faedah kepada para peserta.Di samping mendapat ilmu pengatahuan para peserta telah didedahkan kepada Kompleks Media Prima TV 3 dan stesyen siaran TV yang lain seperti TV7,TV8 dan TV9.Selain itu para peserta dapat mengetahui adanya stesyen radio di Kompleks tersebut seperti Hot FM,Suria FM,Era FM dll lagi.Para peserta juga telah mendapat  ilmu pengatahuan mengenai teknik pancaran stesyen TV dan radio.Insyallah jika ada lagi program seperti ini dalam masa yang akan datang para peserta akan turut hadir untuk mengatahui perkembangan selanjutnya.Tahniah Biro Agama dan pihak penganjur En Norhamdan Bin Baharin.

Gambar di atas menunujukkan En Norhamdan Bin Baharin,Tn Hj Muaz Bin Ibrahim dan para Panel terdiri dari Ustadz Fauzi dan Prof Madya Dr Norhayati dari UIAM.Gambar bawah menunjukkan para peserta sedang khusuk mendengar ceramah yang disampaikan.