Wednesday, July 18, 2012

Apabila Guru Menulis 15 - Kehidupan Sebelum Merdeka

Saya bersekolah kira-kira 7 tahun sebelum merdeka iaitu pada tahun 1950.Ditakdirkan ayah saya meninggal dunia pada tahun 1952.Sebelum meninggal beliau berpesan pada ibu supaya saya disekolahkan sekolah Inggeris supaya masa depan saya cerah.Abang saya yang sulong di sebelah ibu tua telah bersetuju menanggung saya bersekolah.Setelah berada 4 tahun di Sekolah Melayu Lenggong Perak saya bersekolah di Govt English School Lenggong apabila lulus peperiksaan khas yang diadakan oleh kerajaan untuk masuk ke sekolah Inggeris pada masa itu.Tidak ramai yang lulus hanya kira-kira 4 orang dari Sekolah Melayu Lenggong.Apabila sampai ke sekolah Inggeris kami telah berjumpa ramai lagi pelajar luar bandar yang sama dengan kelas saya.Ada yang datang dari Kg Bukit Nangka,Banggul Belimbing,Kota Tampan,Changkat Berangan,Kuak,Luat dan Gerik.Mereka yang jauh ditempatkan tinggal di asrama yang letaknya di Pekan Lenggong bersebelahan dengan May Bank sekarang.Kami datang ke sekolah dengan menaiki basikal.Pada masa itu waktu bersekolah pukul lapan pagi.Guru Besar kami datangnya dari Kuala Kangsar dan beliau berulang setiap hari.Beliau tiba di sekolah pukul lapan pagi sebelum sekolah bermula.Jarak dari sekolah ke Kuala Kangsar kira-kira 30 batu.Nama beliau ialah Mr A Muthiah.Saya sangat minat melihat kereta beliau jenis Rover dan tayar 'spare' terletak di bonet depan kereta sebelah kanan.Warnanya hitam.Pada masa itu sebuah kereta lagi yang saya minati ialah kereta milik ADO Lenggong yang berwarna biru muda.Keretanya jenis Borgward buatan German.Pada masa sekarang kereta jenis itu tiada lagi kelihatan di Malaysia.Mungkin kilangnya sudah ditutup atau diambil alih oleh syarikat lain.Mengenai Tuan Guru Besar tadi oleh kerana beliau kenal dengan keluarga saya beliau sangat baik. Apabila bercakap dengan saya beliau bercakap dalam bahasa Inggeris.Pada hari ini baru saya sedar beliau berbuat demikian supaya kami muridnya mahir berbahasa Inggeris.Saya rasa Tuan Guru Besar ini berbangsa Ceylonese.Kulitnya puteh.
Saya dapati pada masa itu orang Melayu miskin belaka.Ini dapat dikesan dengan apa yang dipakai oleh murid seperti baju,kasut,bag sekolah,basikal dan makanan yang dimakan waktu rehat.Baju jenis kain puteh biasa,kasut jenis tiger shoes,bag jenis rotan,basikal ialah basikal buruk dan makanan yang dimakan waktu rehat ialah nasi berlaukkan ikan kering.Mereka yang mampu makan nasi lemak.Rumah mereka juga sudah usang dan ada yang tinggal rumah seperti pondok beratapkan daun rumbia.Bapa mereka bekerja sebagai penoreh getah dan pesawah padi.Pada masa itu ramai dari penduduk Lenggong menanam padi.Ayernya masih banyak dan tanahnya subur.Termasuk juga datuk saya menoreh getah dan menanam padi.Saya bernasib baik kerana murid cerdas dan dianugerahkan 'Federal Minor Scholarship' dengan pertolongan Guru Besar.Nilainya RM45.00 sebulan dan pada masa itu nilainya besar dan dengan wang tersebut dapatlah memenuhi keperluan sekolah seharian seperti makan dikantin sekolah,beli baju jenis baik sadikit dan pakai kasut jenama 'Bata'.Bantuan tersebut saya dapat sehinggalah tamat School Certificate.Abang saya yang namanya Mohd Nor bekerja sebagai pegawai kebajikan masyarakat.Beliau lulusan Universiti London dan berkahwin dengan orang Cina dari Ipoh.Pada awal tahun beliau kirim wang kepada Guru Besar untuk keperluan persekolahan saya.Mohd Nor seangkatan dengan Tan Sri Taib Mahmud Ketua Menteri Sarawak sekarang.Pada masa itu sangat sadikit orang Melayu berpeluang pergi belajar ke England kerana masih di bawah pemerintahan kerajaan British.Biasiswanya sangat terhad.Di Maktab Perguruan saya dapat bantuan bulanan untuk belanja harian sebanyak RM150.00 sehinggalah tamat pengajian.Di kolej saya menempa nama lagi dan dapat gelaran pelajar terbaik Akademik.Semasa di Universiti Malaya saya dapat bantuan Federal Teaching Bursary.Masa itu sudah merdeka (1968).Bagitu juga pelajar-pelajar lain semuanya dapat bantuan dari Kerajaan Persekutuan pimpinan BN.Kalau tidak tentu kami semua menoreh getah di kampong atau bekerja sawah atau memungut durian di dusun seperti kawan-kawan kami yang lain yang tak dapat peluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.Walau bagaimana pun orang kampong mempunyai kelebihan, setiap keluarga mempunyai kebun getah,dusun durian atau sawah padi.Sebagai harta pustaka dapatlah saya memiliki seekar tanah sawah milik ibu di Kg Temelong Lenggong.Tanah tersebut saya perturunkan kepada salah seorang anak lelaki saya dan ditanam dengan kelapa.Barangkali beliau dapat balik ke kampong setahun sekali untuk menemui kaum keluarga saya yang ada di sana.

Pada hari ini ramai dari kawan saya di sekolah telah berjaya.Ada yang menjadi pengarah pelajaran,askar,guru,pemandu kereta api,kontraktor,askar,pegawai PTD,professor universiti dsbnya.Mereka yang memasuki politik berjaya menjadi Menteri Besar dan Timbalan Menteri.Menteri Besar ialah Dato' Seri Tajol Rosli Bin Tan Sri Ghazali Jawi.Beliau ini tidak pernah lupa kawan.Datoknya Cik Gu Hj Jawi tinggal di belakang rumah kakak saya di Kg Bukit Nangka Lenggong.Di satu majlis di Ipoh semasa mesyuarat Agong PBPPPM pada tahun 2006 beliau pada masa itu masih Menteri Besar Perak.Nampak saja saya beliau terus bertegur sapa dan panggil nama saya 'Dan' sahaja.Nama saya ketika di sekolah dahulu.Seterusnya beliau terus memperkenalkan saya kepada daif-daif yang lain.Saya rasa bagitu bangga dengan sahabat saya ini dan harap orang lain yang berjawatan tinggi jangan lupa kepada kawan-kawan.Di majlis yang sama saya jumpa seorang Timbalan Menteri lagi.Beliau dari sekolah yang sama dengan saya juga dan sifatnya seperti dahulu.Beliau terus berbual mesra dengan saya tentang kisah-kisah lama.Beliau ialah YB Dato' Kamsiah Bt Yeop Timbalan Menteri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Di hari ini saya rasa bersyukur kepada kerajaan BN.BN telah banyak membantu orang Melayu khususnya dasarnya mengenai pelajaran.Dahulu anak seorang pencuci parit dibawa belajar ke Ipoh.Selepas itu memasuki universiti dan apabila tamat menjawat jawatan sebagai Pengetua yang pada masa dahulu sangat jarang orang Melayu memegangnya.Hari ini beliau dan keluarganya hidupnya senang.Salah seorang adiknya pegawai PTD.Kaum keluarga saya juga semuanya sudah senang belaka sama ada di sebelah ibu tua atau ibu muda.Sebelah ibu tua ada 3 orang yang masih hidup dan sebelah ibu muda kekal 7 orang.Salah seorang adik saya maju dalam perniagaan.Beliau adalah bekas pegawai tinggi Penjara Malaysia menjadi pembantu kepada Dato' Zaman Khan dahulu.Isteri beliau ialah anak wakil rakyat Lenggong YB Dato' Mat Nor Dahan.Kami keluarga ibu muda bersatu padu.Bagitu juga anak keluarga ibu tua yang dipimpin oleh seorang abang kami bergelar Tan Sri bekas seorang jurutera. Bila difikirkan pada masa dahulu kami bagitu susah tak sangka di hari ini keluarga kami sudah memiliki dusun durian yang luas lebeh dari mencukupi untuk kegunaan keluarga.Kami juga telah memiliki resort sendiri di sebelah Tasik Raban tidak jauh dari jambatan baru Tasik Raban.Di samping itu beberapa unit 'Home Stay' sedang dibina di sebelah pusat Pekasam Negara Tasik Raban.Namanya 'De Impiana' dan telah pun mula beroperasi.Tanpa pembangunan pesat dalam bidang 'Agro Tourism' yang diperkenalkan oleh YB Dato' Seri Nazri Bin Tan Sri Aziz Yeop Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di JPM bersama-sama dengan wakil-wakil rakyat tempatan kawasan ini tidak mungkin membangun.Semua ini tidak akan terjadi tanpa buah fikiran beliau untuk memajukan Lenggong.Kami anak-anak Lenggong berasa bangga dengan beliau.Pada masa sekarang keluarga kami sedang terlibat dalam bidang pembangunan ladang kelapa sawit yang dipercayai mempunyai prospek yang baik dari segi ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk-penduduk Lenggong.Insyallah. 

Gambar 1 menunjukkan satu pemandangan indah dari arah ladang gaharu yang sedang membesar di Tasik Raban,Lenggong.
Gambar 2 menunjukkan penulis dan seorang sahabat En N Velu di ladang gaharu.
Gambar 3 menunjukkan penulis dengan kaum keluarga di sebelah resort sendiri di Tasik Raban.
Gambar 4 Encik N Velu yang baru lepas melawat kolam memelihara ikan di Tasik Raban.

No comments:

Post a Comment