Sunday, July 22, 2012

Apabila Guru Menulis 16-Scenario Persekolahan Tahun 1950han Lenggong

Saya bersekolah dalam tahun 1950 di sekolah lama SK Lenggong Perak.Sekolah tersebut letaknya di Kg Mesjid Lenggong tetapi sekarang sudah tiada lagi kerana diruntuh untuk pembinaan lebuhraya Kuala Kangsar Grik semasa YAB Dato' Seri Tajol Rosli Bin Tan Sri Hj Ghazali menjadi Menteri Besar Perak.Gambar 3 menunjukkan sekolah asal SK Lenggong yang dibina oleh kerajaan British dalam tahun 1890.Pada masa itu dasar Inggeris hanya 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.Kalau tamat darjah 5 pada masa itu bolehlah menjadi guru sama ada di SITC Tanjong Malim,Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun Melaka (perempuan) atau Maktab Perguruan di Kamunting Taiping Perak.Dalam tahun 1920han bagi mereka yang mampu jika hendak melanjutkan pelajaran hingga menengah bolehlah bersekolah Inggeris mengikut Special Malay Class dan seterusnya mengambil Cambridge Junior School Certificate diikuti oleh Cambridge School Certificate.Antara murid yang berjaya dari SK Lenggong ialah Allahyarham Tun Mohd Suffian Bin Hj Hashim yang merupakan Bekas Ketua Hakim Negara.Beliau bersekolah pada tahun 1924 semasa ayahnya Hj Hashim menjadi Kathi Lenggong.Rumah Tuan Kathi pada masa itu ialah rumah kerajaan yang letaknya di Kg Mesjid berhadapan dengan bangunan SK Lenggong lama.Apabila tamat darjah empat beliau berpindah ke Clifford School Kuala Kangsar kerana di Lenggong tidak ada sekolah Inggeris.Sebelum bersara Tun Mohd Suffian Hashim telah berpeluang datang ke Lenggong untuk merasmikan Mahkamah Megistret Lenggong (1982).Letaknya mahkamah tersebut di kawasan pokok Jerai arah ke Telok Batu berhadapan dengan rumah bekas Speaker DUN Negeri Perak Dato' Omar Bin Hj Ismail.Seorang lagi pemimpin negara yang telah bersekolah di SK Lenggong ialah Allahyarham Tan Sri Aziz Bin Yeop.Menteri di JPM YB Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz ialah anak beliau.Bapa Tan Sri Aziz ialah Cik Gu Yeop, bekas Guru Pelawat Daerah Lenggong.Tan Sri Aziz berkelulusan undang-undang dan memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dan akhirnya Duta Malaysia di London.Tun Suffian,Tan Sri Aziz adalah seangkatan dengan Almarhum Tengku Abd Rahman Putra Al Haj  PM Malaysia Pertama.Dua orang lagi adik lelaki Tun Suffian sebelah ibu tua yang bersekolah di Lenggong ialah Hasan dan Mohd Nor.Hasan tamat School Cetificate tetapi meninggal dunia semasa Perang Dunia Kedua.Beliau bertugas sebagai juru ukur di Pejabat Tanah Kuala Kangsar.Mohd Nor telah melanjutkan pelajaran ke Universiti London dalam bidang 'Social Science' pada tahun 1950han dan balik bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat Negeri Perak di Ipoh.Semasa di London Mohd Nor berkenalan dengan YAB Dato' Patinggi Taib Bin Mahmud Ketua Menteri Sarawak.Tan Sri Taib Mahmud telah pernah memberitahu penulis dalam satu kempen pilehanraya di Kapar Selangor. Mohd Nor seterusnya bertukar ke Selangor sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor semasa Allahyarham Dato' Harun Bin Hj Idris menjadi Menteri Besar Selangor.

Sebagaimana yang diperkatakan saya bersekolah dalam tahun 1950 darjah satu.Ayah saya Tn Hj Hashim Bin Busu Mat Aleh adalah Kathi Lenggong.Beliau yang menghantar saya ke sekolah pada hari pertama persekolahan.Saya dibekalkan dengan sekaki payung berwarna biru.Pada waktu tengah hari beliau bawa saya pulang dengan berjalan kaki ke Kg Jalan Temelong,Lenggong.Tuan Kathi masa dahulu memakai baju kot warna biru,kasut kulit dua warna coklat dan puteh dan memakai kain pelikat.Pada masa itu kain palikat yang digemari ramai ialah Cap Gajah buatan India.Kain ayah berwarna puteh dan jalur-jalur empat segi coklat.Hari besok dan seterusnya saya balik berjalan kaki juga bersama kakak saya Sulha,Salmi dan Salmah.Semasa bersekolah masa yang saya tunggu-tunggu ialah waktu rehat.Kakak saya yang namanya Sulmi menjaga kantin sekolah bagi pihak gurunya yang menjaga kantin.Kantin sekolah di bangunan sendiri seperti sekarang tidak ada.Apa yang ada sebuah bilik dijadikan kantin.Kueh jualan di letak dalam bakul-bakul buluh dan diletak di atas meja.Saya suka makan kueh apam yang berwarna merah dan minum air orange berjenama FN.Botolnya  yang kecil setengah liter.Dalam masa seminggu kami diberi sekali minum susu tepong KLIM namanya.Susu ini tidak seperti susu sekarang kerana melekat dilangit-langit dan susah hendak dibancuh.Pada masa itu barangkali teknoloji membuat susu belum bagitu maju seperti sekarang.Ada pihak yang mengatakan susu tersebut adalah stok tentera Inggeris semasa perang Dunia Kedua.Untuk memasak susu murid-murid diminta membawa kayu api dan ada dapur memasak susu letaknya di sebuah bangunan antara rumah guru  dengan bangunan sekolah.Murid-murid darjah lima lelaki diminta menjalankan tugas ini.

Guru Besar pada ketika itu ialah Cik Gu Abd Rahman Bin Lebai Kemala.Beliau datang ke sekolah dengan menaiki basikal.Guru Besar ini nampak garang dan jarang bercakap.Guru-Guru lain yang saya masih ingat Cik Gu Ahmad Bin Shukor,Cik Gu Mustapha Bin Panjang Baman dan Cik Gu Rolib Bin Buna.Ada dua tiga orang guru perempuan tetapi saya telah lupa nama mereka.Saya difahamkan kesemua guru-guru yang saya sebut telah meninggal dunia.Alfatihah.Kawan-kawan saya di sekolah ini yang saya masih ingat ialah En Zamani bin Tan Sri Aziz,En Ayob(Kubang Jambu),Encik Sabri (Bukit Nangka),En Adnan Bin Abd Rahman (Kg Sekolah Perempuan),Meor Bakri Bin Meor Ahmad(Kubang Jambu) dan En Adnan(Ulu Lenggong).Sesiapa yang pandai bergaul maka ramailah kawan.

Semasa di darjah satu kami belajar menulis dan membaca.Kami juga diajar menulis tulisan rumi dan jawi.Kebanyakan pelajaran diajar dengan latihan tubi.Bahasa Inggeris juga diperkenalkan pada darjah dua.Bukunya keluaran Longman yang ada cerita a man and a pan.Gambarnya tak cantik dan  berwarna hijau tidak seperti buku sekarang berwarna warni..Murid-murid dahulu pandai menulis jawi dan tulisannya sangat cantik.Bagitu juga tulisan rumi tulisan orang dahulu sangat cantik.Tun Suffian tulisan jawinya sangat cantik.Bila menulis surat dengan kawan-kawannya atau abang ipar saya Haji Mahmud Bin Tehat beliau suka menulis dengan tulisan jawi.Masuk darjah dua baru diajar tulisan sambung.Naik darjah tiga kami diajar pelajaran tanaman,ilmu alam dan sejarah.Saya lihat apabila naik darjah lima murid-murid diajar berlakon dan seminggu sekali ada persembahan lakonan.Semua murid diminta hadir di dewan sekolah yang kecil itu sebelum waktu balik pada hari Khamis.Antara cerita-cerita utama pada masa itu ialah cerita Hang Tuah dan rakan-rakan.Selain itu cerita Puteri Gunong Ledang dsbnya.Bukan main lagi seronok murid-murid jika disuruh berlakon terutama watak Hang Tuah berlawan dengan Hang Jebat yang derhaka.Di kalangan murid itu ada yang menjadi hero dan heroin yang dipuja oleh semua murid.Saya masih ingat ada murid yang namanya 'Din Pie' dari Kampong Laha yang pandai berlakon.Pada masa dahulu pada waktu petang bangunan sekolah dijadikan tempat untuk mengajar agama Islam.Apabila murid bertambah kelas tak cukup kami dipindahkan belajar mengaji Koran dan fardu ain di mesjid Kg Mesjid.Mesjid ini dibina sedemikian rupa arah ke jalan besar terdapat sambungan bangunan dua tingkat untuk belajar agama kaum wanita dan kanak-kanak.Guru agama kami namanya Pak Cik Muhamad dan Pak Cik Ramli dari Kg Kota.Saya masih ingat di hari ini bekas Timbalan Menteri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Dato' Kamsiah Yeop mewakilkan saya menjual kueh untuk murid yang mengaji Koran ini.Beliau pandai mengambil hati kami jadi sekejap saja habis laku kuehnya.Tidak disangka pada tahun 2000 setelah hampir 50 tahun kami bersekolah saya berjumpa dengan Timbalan Menteri ini di Majlis Konvokesyen UiTM di Shah Alam.Seperti biasa wataknya yang mudah mesra menegur saya dan bertanyakan mengapa saya ada di UiTM.Adakah untuk Konvokesyen anak saya seperti beliau?.Saya menjawab untuk diri saya sendiri untuk menambah ilmu dalam bidang Pentadbiran Awam sesuai dengan falasafah 'Pendidikan Seumur Hidup' walau pun sudah bersara.Beliau sekali lagi tersenyum dan berkata "Ajidan rajinnya belajar seperti dahulu juga".Kami pun mengambil gambar secara kumpulan.Malangnya saya tak minta sekeping gambar dari beliau.

Setelah lulus peperiksaan khas ketika saya di darjah empat saya pun masuk ke sekolah Inggeris pada tahun 1954.Nama sekolah tersebut ialah Govt English School Lenggong.Letaknya bersebelahan dengan padang bola Majlis Daerah Lenggong di sebelah kanan jalan arah dari Lenggong ke Kuala Kangsar.Pada masa sekarang sekolah tersebut sudah tiada lagi kerana dibina kompleks rumah guru.

Govt English School Lenggong dindingnya diperbuat daripada buluh yang disapu dengan varnish.Lantai sekolah ialah simin.Bangunan sekolah mengandungi dua blok untuk kelas SMC 1,SMC 2 ,STD VI,bilik guru dan bilik tambahan.Sekolah kelihatan cantik kerana ditanam dengan pokok bunga pisang.Untuk menjaga bunga dan membersehkan sekolah terdapat seorang tukang kebun Samy namanya dan kuat makan sireh.Apabila kami naik Form 1 kami pun dipindahkan ke bangunan baru di Kg Sira Lenggong (1957).
Murid-murid yang belajar satu kelas dengan saya di SMC 1 datangnya dari sekitar Lenggong dan Grik.Murid yang jauh dari sekolah mereka ditempatkan di asrama yang letaknya di sebuah kedai bersebelahan dengan Maybank sekarang di Pekan Lenggong.Mereka ini datang dari Beng,Luat,Chepor dan Grik.Antara yang saya masih ingat namanya Abd Halim (Luat),Azrae (Beng)Ainon (Banggul Belimbing),Zaiton Yang (Bukit Nangka),Zulkifli Bin Mahmud (Gelok),Aziz Debok (Gelok),Zulkifli Bin Abu(Grik),Hj Ahmad(Grik),Noroyon bt Hamzah (Lenggong),Tarmizi(Kuak) dan Hendon (Lenggong) anak seorang Guru Besar.Hendon ini pandai bersekolah dan sering bersaing dengan saya untuk tempat pertama dalam kelas.Kedatangan mereka tidak lain dan tidak bukan kerana inginkan masa depan  yang lebeh cerah.Berita mengenai kejayaan Tun Suffian dan Tan Sri Aziz Yeop melanjutkan pelajaran ke England dan balik ke Tanah Melayu dengan berjawatan tinggi telah diketahui oleh ibubapa mereka.Kebanyakan daripada ibubapa mereka adalah pemilik kebun getah yang luas dan dalam tahun 1950han harga getah mahal kerana peperangan Korea.Oleh itu ibubapa mereka mampu menyara anaknya bersekolah Inggeris dan tinggal di asrama.Bagi yang tak dapat tinggal di asrama kerana penuh mereka meletakkan anak mereka di rumah sanak saudara di Pekan Lenggong.Penduduk dari Chepor meletakkan anak mereka di rumah abang ipar saya Tuan Hj Mahmud Bin Tehat di kampong sekolah pokok Jerai Lenggong.Tiap-tiap dua minggu baru mereka balik ke kampong masing-masing.Saya dapati kebanyakan orang Chepor  yang tinggal di rumah Tuan Hj Mahmud ini adalah saudara mara beliau.Apabila tamat persekolahan semuanya mendapat pekerjaan dalam kerajaan dalam berbagai bidang.Ada yang menjadi guru,perkhidmatan kereta api,perkhidmatan telekom,askar dsbnya.Sebenarnya pada tahun 50han kesedaran orang Lenggong mengenai pelajaran menengah sudah mantap di sanubari masing-masing.Sebelum Lenggong ada sekolah Inggeris ramai juga ibubapa yang menghantar anak mereka belajar di Kuala Kangsar dan Taiping.Dengan cara yang sama mereka meletakkan anak mereka di asrama atau di rumah sanak saudara.Salah seorang daripada mereka ialah General Tan Sri Ghazali Bin Cek Mat bekas Ketua Angkatan Tentera Malaysia.Beliau bersekolah di King Edward 7th School,Taiping.Semasa saya dalam SMC 2 dan bermain-main di halaman sekolah kami diberitahu terdapat seorang askar berpangkat 2nd Lieutenant orang Lenggong yang baru balik dari England telah merentas gunong di belakang sekolah dari Taiping.Orang tersebut ialah 2nd Lieutenant Ghazali Bin Cek Mat.Beliau ada seorang adik bersekolah di Std VI Govt English School Lenggong Manaf namanya.Manaf ini seorang ahli sukan dan ramai peminat.Beliau juga berkawan baik dengan Abu Hasan anak Guru Besar Abd Rahman Bin Lebai Kemala.Khabarnya Abu Hasan ini menjadi pemandu kereta api yang cekap dan berkahwin dengan orang Siam.

Di sekolah Inggeris kami belajar Mental Arithmatic,Arithmatic,Bahasa Inggeris,Reading and Spelling,Bahasa Melayu,Lukisan dan Pendidkan Jasmani.Satu yang sangat istimewa saya dapati dari segi kaedah mengajar ialah cara Guru Besar mengajar Bahasa Inggeris.Beliau menempatkan kami semua berbaris panjang dalam kelas.Selepas itu beliau menguji present tense dengan past tense dalam Bahasa Inggeris.Sesiapa yang tak dapat jawab tepat pergi ke belakang.Mithalnya perkatan 'stand' past tensenya 'stood'.Tak dapat jawab pergi ke belakang.Dapat jawab kekal di tempat yang sama.Buku panduan ialah 'First Aid in English'.Dengan cara demikian semua murid perlu menghafal kala 'verb' dari A sampai Z.Bagitulah kami dilatih setiap hari sehingga mahir bukan sahaja untuk present tense dan past tense tetapi tense tense yang lain seperti present perfect tense,future tense dsbnya.Sistem peperiksaan kerajaan pertama bermula apabila dalam darjah Std Six.Naik Std Six setelah SMC 2.Di akhir Std 6 kami mengambil peperiksaan khas ini untuk naik ke Tingkatan 1.Masalah yang dihadapi murid ialah penguasaan Bahasa Inggeris.Jika tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris maka ketinggalan dalam mata pelajaran lain.Saya dapati ramai murid yang gagal dalam peperiksaan ini.Jika gagal maka mereka kena meninggalkan sekolah.Orang kampong mengatakan mereka ini kena buang sekolah. Murid yang lulus akan naik ke Tingkatan 1  dan kami diajar mata pelajaran Sejarah , Ilmu Alam, General Mathematics dan General Science.Selain itu kami juga diajar mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu,Bahasa Inggeris,Senaman dan Seni Lukis.Bezanya dengan sekarang pelajaran sejarah kami diajar mengenai sejarah dunia dahulu seperti Sejarah di Eropah, Amerika Syarikat,Australia dan New Zealand.Setelah lulus Tingkatan 1 naik ke Tingkatan 2.Apabila tamat Tingkatan 2 saya naik ke Tingkatan 3 dan dipindahkan ke Sekolah Menengah Clifford Kuala Kangsar atas permintaan abang saya di Kuala Lumpur untuk ke sekolah menengah yang lebeh baik.

Sebagaimana yang dinyatakan murid Govt English School Lenggong datang dari sekitar Lenggong dan Grik.Mereka yang datang dari jauh tinggal di asrama manakala yang tinggal kira-kira 5 batu dari sekolah datang ke sekolah menaiki basikal waktu pagi.Maka berduyun-duyunlah murid ini datang ke sekolah pada waktu pagi kira-kira pukul 6.30 pagi bagi yang jauh seperti dari Kg Sumpitan.Mereka yang tinggal di Gelok,Temelong,Gua Badak datang pada pukul 7 pagi.Bagitu juga para pelajar dari Labit,Kg Telok Batu,Kg Laha,Kg Mesjid,Kubang Jambu dan Ulu Lenggong  datang pada pukul 7 pagi.Bagi murid yang tinggal di Kg Kuak,Changkat Berangan,Kota Tampan,Banggul Belimbing mereka datang menaiki bas sekolah.Kadangkala bas tiba lewat kerana waktu pagi jalan agak sibuk kerana banyak lori balak.Pada masa itu Ulu Perak banyak mengeluarkan kayu balak dan di Kota Tampan terdapat kilang papan.Waktu persekolahan bermula pada pukul 8 pagi.Pada waktu itu zaman dharurat(1954) dan di Pekan Lenggong sebelah utara mengarah ke Grik terdapat pos pengawal lalu lintas yang di awasi oleh SC dan Home Guard selain dari polis.Saya masih ingat antara penjaga pos yang paling ditakuti oleh orang ramai Mat Lazim namanya.Beliau ini menantu kepada Pn Rasimah.Pn Rasimah ini adik Tok Jalit taukeh kedai runcit di Kg Bukit Nangka.Mat Lazim ditakuti kerana belaiu 'strict' dalam menjalankan tugasnya.Semuanya diperiksa dengan teliti oleh Mat Lazim tanpa mengira siapa khususnya orang Cina dari Pekan Lenggong yang bekerja menanam sayur dan Tembakau di Kg Temelong dan Labit.Pada masa itu ada laporan orang Cina memberi makanan kepada pihak Kominis dengan mengisi beras dalam kotak mancis.Tiap-tiap seorang membawa satu atau dua kotak mancis yang berisi beras dan jika ramai yang keluar bekerja maka jadi banyaklah beras tersebut.Mereka terpaksa membantu kerana takut dan untuk keselamatan diri semasa bekerja.Sekarang ini Mat Lazim sudah tiada lagi dan tinggallah kenangan kepada orang-orang yang mengenalinya (Alfatihah).Walau bagaimana pun kami murid sekolah tidak diperiksa bagitu dan bebas melalui pos kawalan.

Bagitu juga di pos kawalan sebelah selatan menghala ke Kuala Kangsar berdekatan dengan rumah rehat sekarang.Semua yang lalu di situ diperiksa dengan teliti kecuali murid sekolah.Bagitulah keadaannya di zaman dharurat.

Pada masa saya bersekolah dahulu saya dapati orang Melayu miskin belaka.Ini dapat dilihat dari segi pakaian dan apa yang dimakan oleh murid-murid waktu rehat.Mereka yang mampu, membeli kueh mueh atau nasi lemak di kantin sekolah.Yang miskin membawa bekalan sendiri dan kebanyakannya membawa nasi berlaukkan ikan kering dan berbekalkan air teh atau kopi.Minuman milo saya lihat tidak ada yang membawanya ke sekolah sebagai bekalan untuk diminum waktu rehat.Rumah mereka juga rumah papan yang berbumbongkan atap rumbia dan sangat sadikit yang rumahnya beratapkan zinc.Rumah batu tidak ada kecuali rumah kakitangan kerajaan.Rumah yang cantik sadikit rumah papan beratapkan zink milik guru,kerani atau orang kaya yang luas kebun dan sawahnya.Saya bernasib baik kerana dapat biasiswa Federal Minor scholarship dari SMC 1 hingga tingkatan V  iaitu selama 8 tahun.Nilainya RM45.00 sebulan dan pada tahun 50han agak besar juga dan mencukupi keperluan harian.Jika tidak cukup abang saya yang sulong mengirimnya dari Kuala Lumpur mengikut apa yang diperlukan.Saya perlu menulis surat padanya.

Semasa baru merdeka dahulu dan sebelumnya orang Melayu  sangat miskin khususnya di luar bandar.Infrastruktur seperti jalan raya,bekalan air paip dan telefon tidak ada. Apabila merdeka kerajaan Perikatan sekarang BN mula membina kemudahan tersebut termasuk jalan-jalan raya baru.Selain itu dibina dewan orang ramai dan dewan yang lebeh baik di bandar-bandar seperti di Pekan Lenggong untuk kegunaan orang ramai.Sekolah-sekolah juga mula di bina termasuk di Lenggong bagi menggantikan Govt English School Lenggong.Dua sekolah menengah dibina bagi menampung pertambahan murid iaitu Sekolah Menengah Dato' Ahmad Said dan sebuah lagi Sekolah Menengah Tan Sr Aziz.Dato' Ahmad Said ialah bekas Menteri Besar Perak dan Tan Sri Aziz bekas KSU Kementerian Pendidikan.Kedua ini adalah anak jati Lenggong.Sekolah Kebangsaan Lenggong juga mula dibina di tempat yang baru dengan kemudahan untuk asrama bukan sahaja dari Lenggong tetapi juga dari Grik.Menjelang Rancangan Malaysia ke 5 hingga ke 9 lebeh banyak kemudahan lagi dibina oleh kerajaan termasuk lebuhraya Kuala Kangsar - Grik,lebuhraya Jeli - Grik,jambatan khas di Raban,empangan Temenggor,sekolah Menengah Teknik,Maktab Rendah Sains Mara dan tak lama lagi Kolej perubatan.Sebagai murid yang terlibat dengan kemiskinan orang Melayu sejak tahun 50han lagi saya bersyukur atas apa yang dibuat oleh kerajaan terhadap orang Melayu.Saya juga bersyukur saya dibesarkan di Lenggong dan mendapat pendidikan tinggi di Kuala Lumpur di bawah Dasar Ekonomi Baru.Kita tidak mahu generasi baru orang Melayu yang tidur di tepi jalan dan menghalang lalulintas Sultan yang ingin menjalankan tugasnya demi masa depan orang Melayu.Adakah mereka ini semua tahu apa yang diperjuangkan oleh pemimpin mereka dan bagaimanakah keadaan ibu bapa mereka yang mungkin sezaman dengan saya.Adakan ibubapa mereka mendapat peluang pelajaran seperti yang saya nikmati.Kalau pun tidak, tentu ibubapa mereka telah lebeh senang dari dahulu hasil perkembangan ekonomi negara kerana kita sudah merdeka.Mereka harus sedar bahawa sesuatu perjuangan mesti ada matlamat dan ideolojinya! Bukan taksub kepada pemimpin atau individu tertentu.

Gambar 1 Menunjukkan murid SK Lenggong sedang menduduki Peperiksaan Khas anjuran sekolah.2012.
Gambar 2 Menunjukkan bangunan baru SK Lenggong di kawasan yang selesa bekas sawah padi yang tanahnya subur berhampiran dengan Pekan Lenggong arah ke sebelah kanan dari Utara Grik - Lenggong.
Gambar 3 Bangunan lama SK Lenggong yang sudah tiada lagi.Atapnya genting dan keadaan bilik darjah sesuai untuk pembelajaran dan pengajaran.
Gambar 4. Peta kawasan Lenggong - Kuala Kangsar.Kawasan ini dibangunkan oleh YB Dato' Seri Nazri Bin Tan Sri Aziz Menteri di JPM dengan wakil-wakil rakyat tempatan yang lain sebagai kawasan "Eco Tourism' dan terdapat banyak tempat bercuti milik Majlis Daerah Lenggong dan persendirian.
Ajidan Bin Hj Hashim Pengerusi PBPPPM DC Klang dan Naib Pengerusi  PBPPPM Negeri Selangor

3 comments:

  1. Arwah bapa saya pun berasal dari lenggong... dan cerita dia lebih kurang sama dengan tuan... arwah bapa saya lahir pada tahun 1952... memandangkan arwah lahir di kalangan keluarga yang susah, arwah di tinggalkan di rumah makcik nya, ibu kepada arwah Tan Sri Aziz Yeop... Kesusahan orang2 dulu untuk memiliki ilmu sentiasa menjadi tonggak untuk saya menempuh kehidupan ini...

    ReplyDelete
  2. i'M THE PERSON WHO INCHARGE THE OLD BOYS ASSOCIATION. IT'S NAME SMKDIAN AND GES(PERSATUAN BEKAS PELAJAR SMK DATO AHMAD LENGGONG) ADA NOMBOR PENDAFTARAN. SUDAH 3 KALI SAYA BUAT FUNCTION..HAJAT SAYA DALAM BULAN SEPTEMBER INI AKAN BUAT SATU PROGRAM BESAR BESARAN UNTUK KUMPULKAN SEMUA BEKAS PELAJAR DI LENGGONG. KITA BUKA COUNTER FOR ANYBODY WHO WANT TO GIVING A SPEECAH.....HAJI MUHAMMAD BIN WAHAB

    ReplyDelete