Monday, September 17, 2012

SMK Meru 30 Tahun " From Peat To Pearl" 14 September 2012

Pada 14hb September,2012 SMK Meru Klang telah merayakan sekolah tersebut mencapai 30 tahun penubuhannya.Sekolah tersebut telah mula dibuka pada 1hb Jun 1982.Kelas permulaan ialah tingkatan peralihan,tingkatan satu,tingkatan dua dan tingkatan empat.Jumlah semuanya 14 kelas dengan murid seramai 674 orang.Tiada kelas peperiksaan awam dalam tahun 1982.Dalam tahun 1983 baru ada tingkatan tiga dan tingkatan lima.Majlis perasmian 30 tahun ini telah dilakukan oleh  Tn Hj Ajidan Bin Hj Hashim bekas Pengetua Pertama sekolah tersebut sebagai penghormatan kepada beliau yang telah banyak membantu sekolah tersebut dalam penubuhannya khususnya dari segi infrastruktur dan pasarana lain selaku Setiausaha UMNO Bahagian Kapar pada ketika itu.Majlis perasmian telah dilakukan dalam majlis yang gilang gemilang dihadiri oleh bekas-bekas YDP PIBG yang lalu sehingga sekarang,guru-guru kanan,guru-guru dan murid-murid sekolah termasuk anak yatim.YDP sekarang En Mokhlis Bin Jaafar dalam ucapannya mengucapkan setinggi-tinggi Terima Kasih kepada   semua pihak yang telah membantu sekolah tersebut sehingga mencapai tahap kecemerlangan 
 seperti sekarang.Sekolah Menengah Meru terus membangun dengan berbagai kemudahan termasuk sebuah Dewan Besar Dewan Merak.Pengetua SMK Meru Pn Hasnah Bt Mohamad turut hadir dan mengingatkan kita kepada "Resam Padi berisi tunduk,Resam berbakti budi berkepuk dan Resam berjuang bakti dikenang".
Bekas Pengetua dan Timb PPD Klang Tn Hj Ajidan Bin Hj Hashim dalam ucapan perasmiannya mengolah sejarah penubuhan Kg Meru di mana guru dan kakitangan SMK Meru sekarang bertugas.Kampong   
Meru telah ditubuhkan sekitar tahun 1900 oleh Tn Hj Mohd Sharif Bin Hj Abd Razak dari Wonosobo Jawa Tengah.Beliau adalah dari keluarga lurah juga.Salah seorang dari anak cucu Hj Abd Razak sekarang menjadi lurah di Kg Kaliangat, Wonosobo Jawa Tengah.Hj Mohd Sharif seorang yang kuat beragama dan disegani ramai.Beliau meninggal dunia dalam tahun 1954 dan telah disemadikan di Tanah Perkuburan Meru.Anak beliau Tn Hj Ahmad Jabbar Bin Hj Mohd Sharif telah menggantikan tempat beliau selaku Ketua Kampong yang baru sehinggalah beliau juga meninggal dunia.Sekarang ini Ketua Kampong (P) ialah Tn Hj Sukaiman Bin Ahmad bekas Pengurus BSN Selangor.Sebelum Tn Hj Sukaiman Ketua Kampong ialah Encik Hamsis Bin Mat Som dan sebelum beliau Tn Hj Shahid Bin Abdullah bekas seorang Guru Besar.Beliau mengambil aleh sebagai Ketua Kampong apabila Tn Hj Ahmad Jabbar Ketua Kampong yang kedua meninggal dunia.
 Pada tahun 1900 Inggeris di Selangor sedang melaksanakan sistem residen dan berusaha untuk membangun negeri tersebut.Kerajaan Inggeris pada masa itu menggalakkan orang Jawa datang ke Tanah Melayu pertamanya kerana kebudayaan dan cara hidup mereka hampir sama dengan orang Melayu di Tanah Melayu.Proses diffusi budaya dapat berlaku tanpa apa-apa masalah.Kedua oran Jawa ini rajin bekerja dan di mana-mana mereka diberikan tanah semuanya berjaya walau pun bertanah gambut termasuk di Kancong Darat Banting,Batu Laut dan Muar Johore.Pihak Inggeris bukan sahaja menggalakkan mereka datang tetapi meminjamkan wang sebanyak antara RM 500 hingga RM 1000 dalam usaha membuka tanah dan dibayar balik dalam masa 1 hingga 3 tahun.
SMK Meru telah dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke Empat dan siap dibina pada awal tahun 1982.Pada masa perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke Empat Malaysia mengalami kemelesetan Ekonomi.Sekolah belum siap dibina dan tanah menimbus tapak sekolah tidak mencukupi khususnya kawasan padang sekolah.Permohonan peruntukan tambahan oleh pihak kontraktor tidak berjaya.Dengan usaha bekas Pengetua Tn Hj Ajidan Bin Hj Hashim telah dapat menggunakan tanah rezab JKR di Kg Budiman Meru Klang.Maka siaplah padang sekolah dan tapak sekolah tersebut.
Antara tahun 1986  hingga sekarang sekolah terus membangun khususnya dari segi infrastruktur dan pasarana sekolah.Dewan Besar telah di bina termasuk Kompleks Pejabat dan Bilik Darjah untuk murid-murid.SMK Meru mempunyai sebuah Pusat Sumber yang moden dan mendapat tempat pertama dari segi pengurusannya di peringkat Negeri Selangor dan tempat Ketiga di seluruh Malaysia.Bagi merekodkan kejayaan sekolah bukan sahaja dari segi fisikal tetapi juga dari segi kejayaan perlaksanaan kurikulum,kokurikulum dan kejayaan-kejayaan lain sekolah telah mengeluarkan buku khas dengan namanya 'Peat To Pearl' di Majlis 30 tahun ini.Bukunya sangat cantik dan menarik dan seharusnya diikuti oleh sekolah-sekolah lain yang inginkan kemajuan.Tahniah kepada Pengetua,PIBG dan Tahniah kepada Guru-Guru berserta murid.Semoga SMK Meru akan terus mencapai kejayaannya dan mengekalkan statusnya sebagai Sekolah Cemerlang.Usaha seperti ini perlu mendapat kerjasama semua pihak khusus masyarakat di sekitarnya.

No comments:

Post a Comment